Mereka yang bersikap pentingkan diri ini, menjadi seakan-akan tidak waras apabila tangan mula memegang stereng kenderaan. Maka, timbulnya sikap ego, pantang dicabar atau suka berlumba menyebabkan ada pemandu memecut ken­deraan secara berbahaya.

Ironi, terjadinya kemalangan yang meragut nyawa dan lebih malang pemandu durjana ini turut membunuh orang yang barangkali sopan di jalan raya.

Pastinya setiap kali kita mendapat berita kemalangan jalan raya yang menyayat hati, sehingga menular dalam laman sosial, hati pasti tersentak.

Seperti yang berlaku kepada keluarga mangsa Moey Yun Peng, 20, yang terbenam bersama kenderaan utiliti sukan (SUV) selama tiga hari di dasar laut di bawah Jambatan Pulau Pinang pada Ahad lalu. Bayangkan betapa remuk dan pilu hati keluarga terutama si ibu yang melihat mayat mangsa sudah membengkak dan masih berada pada tempat duduk pemandu serta masih memakai tali pinggang keledar.

Namun, menurut laporan media sebelum ini, pihak polis percaya, Toyota Vios dan SUV yang terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang menghala Seberang Perai itu sehingga menyebabkan SUV berkenaan terhumban ke dalam laut dipandu laju.

Namun, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada dua kenderaan berkenaan sedang berlumba ketika kemalang­an tersebut seperti dakwaan orang ramai. Sebelum siasatan dirungkai secara tuntas, ja­nganlah kita memandai-mandai membuat spekulasi.

Sebenarnya banyak kejadian seumpama itu terjadi di jalan raya. Memandu laju di jalan raya sehingga menyebabkan mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Pastinya kisah dua beradik Nur Firuza Amira, 10, dan Nur Firuza Aqila, 7, yang menjadi yatim piatu setelah kedua-dua ibu bapa serta adik mereka maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) empat tahun lalu, masih basah dalam kotak fikiran orang ramai.

Semuanya gara-gara enam buah kereta Perodua Myvi berlumba di atas jalan raya tersebut dan kemudiannya salah sebuah daripadanya melanggar kenderaan Pajero yang dinaiki ibu bapa serta adik kepada dua beradik malang itu. Pemandu dan semua penumpang termasuk Amira dan Aqila yang ketika itu berusia enam bulan, tercampak di atas jalan raya.

Maka, melihat kes-kes kemalangan jalan raya yang ngeri membuatkan kita berdoa agar diri dan keluarga dijauhkan daripada kejadian tragis seperti itu. Memang benar, dalam Islam, takdir telah ditentukan Allah dan mati itu pasti serta tidak lewat kendatipun sesaat. Namun, kita tidak harus naif memikirkan setiap perincian kejadian oleh Allah itu, manusia tidak dapat mengelaknya. Justeru kita dapat memahami bahawa ada ketetapan Allah yang telah pasti dan ada pula yang bersyarat.

Siapa tahu salah satu syarat itu adalah menerusi doa, sehingga apa yang diperolehi mereka yang berdoa, sudah tentu berbeza dengan apa yang dialami oleh mereka yang tidak berdoa.

Demikian juga dalam soal memulakan perjalanan hendaklah sentiasa dimulakan dengan doa iaitu ‘Subhanallazi sakharalana haza wama kunna lahu muqrinin. Wainna ila rabbina lamunqalibun’ yang bermaksud ‘Maha Suci Allah yang telah mempermudahkan kenderaan ini untuk kami, sedangkan kami sebelum ini tidak mampu menguasainya. Sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali’.

Ini kerana, menurut kata sesetengah ulama, sesiapa yang membaca doa tersebut ketika hendak berlepas dari satu tempat, dia pasti akan dikembalikan ke tempat itu dengan selamat. insya-Allah.

Beringatlah, jalan raya bukanlah medan untuk berlagak hero kerana pada akhir­nya pasti akan kecundang jua. Itu yang berlaku kepada pesalah keluarga Amira dan Aqila.

Pada Februari 2018, Siti Noor Aini Mohd. Said, 38, serta Mohamad Fizal Reza Jamauddin, 33, dipenjara tiga tahun dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Mereka didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga sekeluarga ber­kenaan.