Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, satu perbincangan khusus bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta beberapa jabatan berkaitan akan diadakan segera bagi mencari jalan bagaimana kebergantungan sehingga 90 peratus kepada benih import itu dapat dikurangkan  bagi meningkatkan keupayaan industri pertanian tempatan serta pekebun sayur.

Beliau berkata, pemerkasaan industri benih tempatan berupaya membantu petani memperoleh benih yang lebih murah dengan kualitinya juga setaraf yang diimport sekali gus mendorong mengurangkan faktor yang menjadi antara sebab peningkatan harga makanan. 

"Isu benih dan keupayaan menghasilkan hanya 10 peratus daripada keperluan biji benih didapati menjadi antara halangan pengembangan sektor pertanian sayur yang memerlukan tumpuan segera kementerian.

Dengan kepakaran Mardi dan disokong beberapa jabatan lain, kita yakin usaha menghasilkan benih sendiri boleh dilakukan walaupun memakan sedikit masa," katanya pada sidang akhbar selepas melawat dan mengadakan dialog dengan pengusaha projek usahawan tani Bukit Damar, Dengkil di sini hari ini. - Bernama