Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, kumpulan jemaah yang tiba berpakaian ihram itu kemudiannya dibawa menunaikan umrah pada pukul 6 pagi, selepas berehat seketika di bilik masing-masing.

"Alhamdulillah, seramai 478 jemaah haji daripada kumpulan pertama ini selamat tiba di Makkah menaiki 11 bas yang bertolak dari Madinah kira-kira 6 petang waktu tempatan.

"Kebiasaannya, waktu perjalanan dari Madinah ke Makkah mengambil masa empat hingga lima jam, namun setelah mengambil kira waktu berhenti rehat di kawasan R&R (rehat dan rawat) untuk makan dan bersolat, masa perjalanan boleh menjangkau hingga tujuh jam," katanya yang ditemui semasa majlis sambutan jemaah haji KT01 di Maktab 74 di sini hari ini.

Bagi perjalanan kumpulan pertama itu, beliau berkata, jemaah mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk berhenti makan dan solat maghrib serta isyak di R&R yang ditetapkan pihak TH. - Bernama