Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Arifai Tarawe berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis daripada cawangan kereta peronda sekitar pukul 1.10 petang selepas menerima maklumat daripada orang awam.

"Pemeriksaan yang dilakukan ke atas suspek telah menemui serangkai anak kunci serta alat kawalan jauh dan soal siasat yang dilakukan kemudiaannya mendedahkan bahawa lelaki terbabit aktif menjalankan aktiviti pecah rumah termasuk mencuri kenderaan di sekitar kawasan Brickfield.

"Suspek kemudiannya turut mendedahkan kepada pihak polis tentang penglibatan seorang lagi rakannya dalam kegiatan jenayah sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arifai, bertindak di atas maklumat tersebut, satu serbuan telah dilakukan pada 4 Januari lalu oleh anggota daripada Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield kira-kira pukul 7.30 pagi dan menahan suspek kedua di sebuah kondominium di Jalan Puchong di sini.

"Kita rampas beberapa barangan termasuk satu beg galas yang mempunyai pelbagai peralatan pecah rumah seperti pemutar skru, spanar, serangkai kunci kereta dan alat kawalan jauh beberapa kereta serta sebuah kereta jenis Mercedes Benz sebagai bahan bukti siasatan.

"Suspek kedua yang berusia 38 tahun itu mendedahkan turut terlibat melakukan kegiatan pecah rumah dan mencuri kenderaan bersama suspek pertama malah mengakui berada bersama-sama dengan rakannya itu pada kejadian 3 Januari lalu (cubaan mencuri Ford Ranger) namun mendakwa berjaya melarikan diri," ujarnya.

Tambah Arifai, semakan mendapati kedua-dua suspek warga tempatan itu masing-masing mempunyai tiga rekod jenayah termasuk satu kes dadah dan dua rekod jenayah termasuk satu kes dadah.

"Kes kini disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan jenayah pecah rumah serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan dan mencuri kenderaan," tegas beliau. - K! ONLINE