Jurucakap Kumpulan Anak Kelantan Kecewa, Mohd. Nor Hussain berkata, dakwaan Caprice yang mengatakan penagih dadah dan pedolphila paling ramai di Kelantan boleh menimbulkan rasa takut pada pelancong.

"Kenyataan Caprice yang mengatakan, ‘Saya tahu kamu menipu saya, kamu hanya angguk angguk angguk tapi jangan bagitahu saya kamu faham bahasa Inggeris' sangat melukakan hati kami.

"Cara percakapan dia menunjukan betapa cetek ilmu rakyat Kelantan kerana tidak faham bahasa Inggeris. Kenyataannya yang mengatakan rakyat Kelantan adalah penagih dadah paling ramai, pembuangan bayi paling ramai dan juga pedofilia paling ramai di Malaysia telah menjatuhkan  martabat rakyat Kelantan di mata masyarakat negeri lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir bersama beberapa ahli Anak Kelantan Kecewa untuk membuat laporan mengenai kenyataan Caprice itu di Balai Polis Kuala Krai di sini.

Caprice dikecam selepas memuatnaik sebuah video yang didakwa telah menghina masyarakat Kelantan berhubung kehadiran mereka ke program ceramah ulama terkenal, Dr. zakir Naik di Stadium Sultan Muhammad VI baru-baru ini.

Menurut Mohd. Nor, Caprice tidak sepatutnya membuat kenyataan itu kerana dia merupakan salah satu ikon belia dan terkenal yang boleh mempengaruhi dan hasutan kepada orang lain.

Sehubungan itu, Mohd. Nor meminta polis menjalankan siasatan supaya tindakan lanjut dapat diambil terhadap perkara itu. - K! ONLINE