Saya yang berdiri di se­belahnya cuba tidak mengendahkan situasi tersebut tetapi terdengar keluhan daripada warga emas tersebut.

“Makcik nak balik dah, itu anak makcik ajak balik, kalau ikutkan hati, makcik nak tunggu sampai habis solat tarawih di sini,” saya tersenyum sambil menyambut salam daripada jemari kedutnya itu dengan perasaan sayu dan bersimpati kepada wanita tersebut.

Pastinya si ibu tua itu mahu meluangkan lebih banyak masa berada di masjid bermula dari sesi berbuka puasa berjemaah sehinggalah selesai bertadarus bersesuaian dengan kemuliaan bulan Ramadan.

Mungkin kekangan masa dan hal rumah tangga membuatkan wanita ini terpaksa meninggalkan rumah Allah dengan hati yang lemah, namun saya berdoa agar urusannya dipermudahkan dan dapat berkunjung semula ke masjid pada hari esok dan seterusnya.

Ini merupakan antara corat-coret yang dapat dilihat sepanjang pengalaman saya berkunjung ke sebuah masjid di dalam bulan Ramadan tahun ini.

Apa yang saya kagumi ialah ramai kumpulan warga emas berusia lebih 60 tahun masih berada dalam saf untuk menunaikan solat tarawih sehingga ke rakaat ke-20.

Meskipun perlahan pergerakan mereka tetapi kesungguhan menunaikan solat sunat tersebut membuatkan saya kadang-kadang malu pada diri sendiri yang sekali sekala ‘pancit’ untuk berdiri cergas bersama barisan jemaah lain sehingga selesai solat sunat witir.

Selesai bertarawih, saya menyaksikan ramai ibu masih berada di dalam masjid dengan aktiviti ilmiah masing-masing meskipun jam menunjukkan pukul 11 malam.

Ada yang mula menyiapkan diri untuk bertadarus Al Quran bersama rakan-rakan dan ada juga bersendirian membaca kitab suci tersebut.

Sering saya terfikir, dari mana datangnya kekuatan kaum wanita ini dalam bulan Ramadan kerana waktu siang mereka begitu sibuk dengan aktiviti yang padat.

Selalunya wanita dan kaum ibu akan mula sibuk di dapur bermula pukul 4 pagi setiap hari untuk menyiapkan juadah bersahur hinggalah merebahkan diri di katil selewatnya-lewatnya pukul 12 atau 1 pagi pada keesokan harinya.

Pelbagai cara kaum ibu ini melengkapkan aktiviti harian tanpa sebarang keluhan dan rungutan meskipun kurang masa untuk tidur dan berehat.

Namun segalanya lengkap daripada aspek persiapan untuk suami dan anak kecil termasuk memasak juadah berbuka puasa meskipun ada yang terpaksa membeli di bazar Ramadan hinggalah menyiapkan urusan kerja di pejabat.

Fikiran seorang ibu itu kadang-kadang boleh menjangkau kepada pelan perancangan aktiviti menyiapkan menu berbuka dan bersahur sepanjang minggu selain mereka juga sudah merangka pelan cadangan untuk membeli-belah persiapan hari raya dan biskut raya serta juga jadual perjalanan balik ke kampung berhari raya.

Namun dalam kesibukan seharian di dalam bulan Ramadan, jagalah kesihatan agar ia tidak terganggu termasuk mengambil kira waktu rehat dan juga tidur.

Pada masa sama, keluar­ga, suami dan anak-anak juga perlu membantu dan menyokong mereka melengkapkan segala keperluan berkenaan kerana ia dapat meringankan beban tanggungjawab yang berat itu.

Raikan kaum ibu dan isteri masing-masing dengan penuh rasa kasih sayang kerana itulah penguat sta­mina mereka selama ini.