Simbol seks Hollywood era 1950-an, mendiang Marilyn Monroe pula dilaporkan sudah melakukannya sebanyak 12 kali.

Lebih menggemparkan, Marilyn dikatakan kali terakhir melakukannya 15 hari sebelum tarikh kematiannya yang penuh misteri dan kontroversi pada 5 Ogos 1962.

Nicki Minaj, Toni Braxton, Vanessa Williams, Joan Collins antara nama-nama terkenal Hollywood yang turut melakukannya.

Agak menggerunkan, pemenang Oscar Whoopi Goldberg pula mengakui melakukannya pada usia 14 tahun dengan hanya menggunakan penyangkut kot.

Sudah tentu tidak hanya dalam kalangan artis Hollywood.

Artis Malaysia juga ada yang telah melakukannya. Penyanyi dan pelakon Elyana, 32, dilaporkan telah melakukannya pada 7 Mac tahun lepas.

Kesemua wanita yang disebutkan namanya itu sebenarnya telah melakukan apa yang dikenali sebagai pengguguran kandungan.

Dalam kes Elyana, isteri kepada Khairul Anuar Hussin itu terpaksa menggugurkan kandungannya yang telah memasuki usia dua bulan ekoran kanser limfoma yang dihidapinya.

Justeru, ada apa dengan pengguguran kandungan?

Ia sebenarnya sudah lama menjadi salah satu isu hangat yang menimbulkan perdebatan etika, khususnya dari segi usia kandu­ngan yang dibenarkan untuk digugurkan secara sah mengikut lunas perundangan dan hukum agama.

Di negara ini, Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah membuat ketetapan yang boleh dilabelkan sebagai liberal.

Menurut ijmak fuqaha’, hukumnya haram menggugurkan janin yang telah mencecah usia lebih 120 hari (atau empat bulan).

Ini kerana hal tersebut dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh, kecuali ia dilakukan bagi menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan kronik.

Namun sebaliknya di Georgia, Amerika Syarikat (AS) apabila undang-undang baharu dikenali sebagai HB 481 bakal dilaksanakan di negeri itu menjelang 1 Januari 2020.

HB 481 mengharamkan pengguguran seawal usia kandungan enam minggu (atau 42 hari), dan wanita yang melakukannya bakal berdepan hukuman penjara.

Alasannya adalah jantung janin pada usia tersebut sudah berdenyut menandakan ia telah bernyawa.

Impaknya, muncul golongan yang melabelkan ketetapan Georgia tersebut sebagai tidak liberal dan lantang bersuara memprotes bagi menghalang pelaksanaan HB 481.

Ia bergema kuat dari Hollywood yang sebelum ini sukses menyebabkan penangguhan pelaksanaan undang-undang hukuman mati terhadap golongan gay di Brunei yang sepatutnya bermula pada 3 April lepas.

Jika ‘senjata’ kejayaan Hollywood dalam kes Brunei adalah melalui kuasa protes dicetuskan khususnya oleh aktor tersohor, George Clooney yang mengugut mahu memboikot rangkaian hotel mewah di serata dunia dimiliki negara Islam itu, justeru untuk kes Georgia ini pun lebih kurang sama.

Hollywood kini menghunus senjata mahu memboikot Georgia!

Menurut laporan terbaharu, beberapa syarikat produksi bersama kira-kira 50 pelakon Hollywood termasuk Alyssa Milano, Sean Penn dan Alec Baldwin telah bersatu bagi memprotes HB 481.

Sementelah, Atlanta di Georgia adalah lokasi tumpuan penggambaran filem dan produksi televisyen Hollywood sebelum ini.

Antaranya filem pecah panggung Black Panther, The Hunger Games, Avengers: Infinity War dan Ant-Man and the Wasp, selain siri TV popular seperti The Walking Dead dan Stranger Things.

Pada tahun lepas sahaja, Hollywood telah menyalurkan pendapatan sebanyak AS$2.7 bilion (RM11.2 bilion) kepada Georgia.

Justeru, adakah kuasa protes Hollywood di Georgia akan mengulangi kejayaan sepertimana di Brunei?

Apa yang jelas di sebalik kemilau glamor yang melingkarinya, Hollywood tidak alpa, lemah, larut, hanyut atau diam membisu seumpama trofi patung Oscar yang tidak bernyawa itu apabila hak dan maruahnya digugat sebarang isu atau masalah berbangkit.

Sebaliknya, Hollywood membuktikan kepada dunia bahawa ia memiliki senjata suara protes yang lantang, padu dan berimpak tinggi untuk didengari dan digeruni, bahawa dirinya tidak sama sekali boleh diperkotak-katikkan begitu sahaja.