Saat melihat penyanyi yang terkenal dengan lagu Diriku Tapak Sulaiman itu lincah dan sentiasa girang, siapa sangka sang pemunya diri sedang berjuang dengan penyakit kanser limfoma tahap empat.

Kisahnya pantas menjadi buah mulut ramai serta viral di laman sosial.

Malah, ramai yang terkejut saat Elyana memberitahu, dia pernah dimaklumkan hanya mempunyai setahun sahaja lagi untuk hidup sewaktu mula didiagnos kanser kira-kira tujuh tahun lalu.

Atau dalam erti kata lain, dia sepatutnya meninggal dunia sekitar tahun 2011.

“Doktor beritahu saya ketika itu, saya hanya ada setahun untuk hidup. Saya nekad berhenti kimoterapi dan cabar diri saya untuk berjuang,” ungkap penyanyi berusia 30 tahun pada malam Ahad lalu sewaktu dikerumuni media.

Benarlah kata orang, ajal dan maut di tangan Allah. Bukan di tangan doktor, bomoh ataupun mana-mana individu yang mendakwa mempunyai sakti.

Elyana berjuang dengan cara tersendiri dan tidak berputus asa. Dia berdiri dengan pemikiran positif, gembira dan tampil bahagia pada kebanyakan masa.

Senyuman tidak pernah lekang di bibirnya.

Memetik kata-kata ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia tidak ingin kelihatan sedih kerana itu akan membuat dia lebih lemah dan sakit.

Malah dengan doa yang tidak putus, dia sendiri tidak menyangka Allah memanjangkan nafasnya enam tahun lagi.

Hakikatnya, dalam bidang psikologi, kuasa pemikiran positif telah dikaji sejak sekian lama untuk mencapai kegembiraan dan kejayaan dalam kehidupan.

Kepentingan kuasa pemikiran positif ini melibatkan hampir semua orang dalam kehidupan harian daripada individu yang bergelar pelajar, remaja, ibu bapa, pemimpin, pekerja, majikan mahupun pesakit.

Pelajar perlu positif untuk mendapat keputusan cemerlang, ibu bapa perlu positif untuk membina hidup bahagia bersama anak-anak, pekerja perlu positif agar lebih produktif manakala pesakit perlu positif untuk sembuh.

Menariknya menurut satu penulisan oleh dua pakar psikologi, Kennon M. Sheldon dan Sonja Lyubomirsky, hanya 10 peratus kebahagiaan disebabkan oleh keadaan luaran, 90 peratus lagi sebenarnya didasarkan daripada persekitaran dalaman kita.

Pendek kata, persekitaran dalaman ini akan membawa pemikiran dan getaran positif. Tanpa kita sedar, getaran ini akan kita sebarkan kepada orang lain untuk menarik getaran positif lain.

Pening? Ya bunyinya agak berbelit dan retorik. Namun contoh mudah, pernahkan anda bekerja dalam satu kumpulan yang menyeronokkan? Ia disebabkan oleh getaran positif dan pemikiran optimis individu dalam kumpulan itu.

Yang pasti, kuasa pemikiran positif, optimis dan sentiasa rasa bersyukur yang seperti ditunjukkan Elyana wajar menjadi contoh kebanyakan kita. Ini kerana hakikatnya, semua kita adalah pengejar kebahagiaan.