Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Norhazni Mat Sari berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan kualiti udara di kawasan sekolah tersebut hari ini dan mendapati kualiti udara adalah normal.

"JAS Negeri Sembilan telah ke kawasan sekolah dan kawasan penanaman cili tersebut bagi membuat pengukuran kualiti udara dan mendapati kualiti udara adalah normal serta tiada yang luar biasa.

"Siasatan kami juga mendapati tiada sebarang industri berhampiran sekolah tersebut kecuali ladang cili tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Kosmo! Online semalam melaporkan seramai 24 murid SK Linggi mengalami gejala loya dan muntah-muntah akibat terhidu racun serangga Malathion yang disembur di sebuah ladang cili berhampiran sekolah itu pagi kelmarin.

Kejadian itu mengakibatkan 12 daripada 24 murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun terbabit terpaksa dikejarkan ke Hospital Port Dickson, manakala selebihnya dirawat di Klinik Kesihatan Linggi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Md. Fiah Md. Jamin ketika dihubungi berkata, SK Linggi masih ditutup untuk proses pembersihan oleh pihak bomba.

Menurut beliau, langkah itu untuk memastikan persekitaran sekolah adalah selamat untuk murid, guru dan kakitangannya. - K! ONLINE