Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, syarikat berkenaan sedang bekerjasama rapat dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk membangunkan projek itu yang mana mengalami kelewatan disebabkan pelbagai isu.

"Projek itu (pembangunan hartanah) di bawah RAC. Kami cuba untuk membangunkannya sendiri, bagaimanapun terdapat beberapa isu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), hari ini.

Katanya, antara perkara yang dibincangkan dengan CEP adalah Fasa II  projek naik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KDVT).

"Perbincangan adalah sangat baik. Kami berkongsi isu mengenai KTMB dan mereka memberikan pandangan serta nasihat," kata Mohd Rani.

Bercakap mengenai naik taraf KDVT, beliau berkata, CEP dimaklumkan mengenai kepentingan, kos dan tempoh masa projek berkenaan. 

Menjawab soalan mengenai prestasi KTMB, Mohd Rani berkata, syarikat berkenaan semakin baik dan bertindak lebih efisyen serta berorientasikan pelanggan sama ada kepada penumpang atau industri  kargo.  

Mengenai keperluan meningkatkan tambang, beliau menyatakan bahawa pengendali kereta api itu perlu menseimbangkan antara kawasan yang mendatangkan keuntungan dan sebaliknya.

"Kadar tambang ditentukan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat kerana kami perlu menseimbangkan antara operasi secara komersial dan kepada orang ramai. Ada kawasan yang memberikan keuntungan dan ada yang tidak," kata Mohd Rani.

Beliau bagaimanapun, enggan menjawab apabila ditanya bila KTMB akan membuat keuntungan. 

"Kami akan mengumumkan prestasi kewangan kami tidak lama lagi dan anda akan mengetahui sama ada kami membuat keuntungan atau tidak," tambahnya. 

Dilaporkan bahawa KTMB mengumpul kerugian berjumlah RM1.87 bilion dari tahun 2000 hingga 2015.

Bagi tahun kewangan 2015, ia mengalami kerugian bersih RM226.25 juta sebelum mencapai keuntungan sebanyak RM63.22 juta pada 2016 yang mana sebahagian besarnya adalah hasil pelupusan aset. - Bernama