Mangsa, Sathaphon Phimla, 24, yang merupakan seorang warganegara Thailand ditemui pada pukul 9 pagi kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa terjatuh.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, hasil siasatan mendapati, dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari semalam, mangsa dipercayai sedang melepaskan tali bot dari pelantar untuk keluar menangkap ikan.

"Mangsa secara tiba-tiba terjatuh ke dalam laut tanpa disedari oleh sesiapa. Majikan mangsa ada melakukan usaha mencari di sekitar kawasan pelantar namun tidak dijumpai.

"Majikan pada awalnya menyangkakan mangsa pergi membeli barang dan masih belum pulang, namun dia menyedari mangsa lemas setelah membuat pemeriksaan melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pada pukul 1 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Muhammad Hanif, disebabkan keadaan laut bergelora akibat air pasang pihak bomba dan penyelamat, pihak Polis Marin Kampung Acheh hanya membuat pemantauan di permukaan laut sahaja.

"Mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan timbul pada pukul 9 pagi sebelum mayatnya di bawa ke Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat.

"Siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - K! ONLINE