Dalam perutusan Hari Krismas, Presiden MCA  Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil perhatian bahawa kepelbagaian kebudayaan dalam negara ini merupakan teras terhadap apa yang beliau sifatkan sebagai semangat "KeMalaysianan" dan perkara itu tidak boleh dipandang ringan.

"Sama seperti perayaan Krismas yang merupakan masa untuk keikhlasan, pemurah dan memaafkan, marilah kita bersama-sama dalam memupuk benih keharmonian dan saling menerima perbezaaan antara satu sama lain," kata Menteri Pengangkutan itu.

Nilai berkenaan, katanya telah menjadi asas bagi pertumbuhan yang membina negara ini pada peringkat awalnya dan ia juga merupakan nilai-nilai sama yang akan terus menjadi landasan bagi kemajuan negara untuk menjadi negara maju dan berpaksikan kesederhanaan.

"Pada musim perayaan ini, saya mendoakan anda semua bergembira dalam kita sama-sama meraikannya dengan keluarga, rakan, jiran dan orang tersayang. Adalah menjadi harapan saya bahawa kita semua akan mengutamakan semangat kekitaan dalam menyambut perayaan ini,"  katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan  Datuk Seri Mah Siew Keong  berkata rakyat  Malaysia perlu fokus pada  nilai-nilai yang dikongsi bersama dan integrasi dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini.

"Kita perlu kembalikan rasa kasih sayang, toleransi dan kemadanian dalam perbincangan awam kita. Naratif mengelirukan yang bertujuan untuk mengapi-apikan dan bukannya untuk menyembuhkan perlu ditolak sepenuhnya, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.

Pihak yang melakukan provokasi, katanya patut dikutuk dan dihukum dalam usaha berterusan untuk  menggalakkan kesederhanaan dan keterangkuman dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Dalam semangat Krismas, kami berharap perasaan takut, tidak mempercayai, ketaksuban dan kebencian yang dimainkan menerusi politiking tegar akan dapat dipulihkan menerusi gesaan sejagat bagi kemanusiaan dan kebaikan bersama seperti yang didukung oleh penganut agama Kristian dan semua agama lain," katanya. - Bernama