Bukan soal wang yang perlu dibayar, sebaliknya dia mendakwa tidak lagi mempercayai golongan wartawan. Menurut kepercayaannya, mereka yang kerjanya mencatat berita dan peristiwa itu sudah hilang kredibiliti.

Lelaki lulusan sebuah universiti awam itu kemudian tanpa berselindung mengaku dia kini lebih mempercayai dan menggemari berita-berita yang dipaparkan melalui page (laman) bebas di Facebook.

Ketika mendengar kata-kata rakan itu, saya hanya mendiamkan diri. Jauh di sudut hati, saya berasa kasihan kerana rakan itu mungkin tidak mengetahui sebahagian besar paparan berita di ‘page bebas’ berkenaan dicedok, diciplak daripada sumber utama iaitu paparan online yang dimiliki syarikat-syarikat akhbar dan agensi berita.

Hasil keringat wartawan yang didakwa tanpa kredibiliti inilah dirompak, ‘digoreng’ sebelum dimuat naik semula di laman terbabit. Bagi pemilik page yang lebih berakhlak, mereka akan meletakkan kredit sumber berita pada penghujung artikel berkenaan. Namun kebiasaannya, ia sangat jarang dilakukan.

Hakikatnya, itu bukanlah kali pertama saya terpaksa menahan diri daripada berkonfrontasi dengan mereka yang memperlekehkan profesion saya. Ada yang lebih dahsyat daripada itu.

Misalnya, baru-baru ini, seorang lelaki berkongsi keratan muka depan akhbar Kosmo! me­ngenai kes penangkapan seorang guru besar yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat ra­suah membabitkan pertukaran guru di Facebook miliknya.

Perkongsian lelaki itu mendapat perhatian ribuan netizen. Kebanyakan komen mendoakan guru besar terbabit dibebaskan namun apa yang menyedihkan, ramai juga yang memaki hamun wartawan yang melaporkan kenyataan SPRM berkenaan.

Pelik, yang mungkin tidak bersalah dalam kes ini adalah guru besar atau guru yang memberi suapan, sebaliknya wartawan yang melaporkan pula ‘dihukum’ bersalah kerana kononnya mengaibkan guru-guru itu malah didoakan pula ‘masuk ke neraka.’

Apa sebenarnya kerja wartawan? Selain menjadi penyampai maklumat baharu, berita sesuatu kejadian kepada masyarakat, mereka ini sebenarnya berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat. Polisi serta makluman kerajaan disalurkan, rungutan rakyat disampaikan. Begitu juga sebaliknya. Tidak keterlaluan, hasil kerja wartawan inilah menyinari hidup sebahagian daripada kita.

Lupakan soal pengorbanan, jerih perih wartawan turun padang mendapatkan sebanyak maklumat untuk mengarang sesebuah berita dengan baik kerana saya yakin, itulah asam garam dalam apa jua pekerjaan.

Wartawan tulen berpegang kepada prinsip kebenaran dan kejujuran dan atas dasar itu, kelompok ini sentiasa terdedah (terbuka) kepada tindakan undang-undang mana-mana pihak yang berasakan mereka difitnah atau diaibkan tanpa asas.

Secara peribadi, sejak lebih 14 tahun lalu, saya cukup teruja bergelar wartawan. Profesion yang serba mencabar namun penuh dengan keseronokan.

Tidak ada apa yang lebih menggembirakan apabila setiap maklumat yang disalurkan, memberi manfaat kepada ratusan ribu pembaca.

Kenangan 10 tahun lalu. Sebuah keluarga miskin di sebuah daerah di Perak yang tidak tahu di mana meminta bantuan, dijadikan bahan berita seterusnya mendapat perhatian kerajaan dan masyarakat umum. Bantuan dihulur, anak-anak keluarga daif itu mula bersekolah, masuk universiti akhirnya berjaya mengubah nasib keluarga.

Dua tahun lepas, anak yang sulung keluarga itu (seorang doktor di Hospital Kuala Lumpur) berjaya menjejaki, menghubungi saya dan mengucapkan penghargaan. Ketika itu, hanya Allah yang tahu betapa puasnya saya dengan kerjaya ini.

Saya sentiasa percaya bahawa kerjaya sebagai wartawan ini sangat hebat, malahan kehebatannya sama seperti pekerjaan anda. Hakikatnya, semua kerjaya ini mulia sifatnya, yang membezakan adalah individu itu sendiri. Jadilah masyarakat yang budiman dan janganlah kerana ada seorang pelaku salah dalam kalangan sesuatu profesion, habis semua dipukul rata.

Terima kasih kerana sudi membaca dan maafkanlah jika tulisan-tulisan saya sepanjang 14 tahun ini kurang memberi manfaat. Teruskanlah menjadi pembaca setia akhbar ini!