Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, kementeriannya akan melakukan audit ke atas setiap premis berikutan terdapat rungutan daripada golongan berkenaan mengenai ada premis JKM yang tidak mesra OKU seperti pejabat berada di tingkat atas bangunan namun tiada kemudahan lif.

"Keadaan ini menyukarkan urusan mereka sekali gus menyumbang kepada isu kegagalan mendaftar kad OKU," katanya kepada pemberita selepas karnival amal anjuran 'Beautiful Gate Foundation for The Disabled' di Kepong hari ini.

Karvinal yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng itu diadakan dengan objektif mengumpul dana bagi membantu penghuni yayasan tersebut.

Hannah berkata, sekiranya premis JKM lebih mesra OKU, ramai golongan berkenaan dapat mendaftar dan mengurangkan masalah keciciran menerima bantuan.

Katanya, beliau percaya di Kuala Lumpur sahaja, masih ramai OKU tidak mendaftar walaupun jumlah yang berdaftar direkodkan seramai 31,750 orang.

Dalam pada itu, Hannah berkata, kementeriannya juga sedang meneliti keperluan untuk memperkasa akta sedia ada berkaitan OKU untuk membela golongan itu. - Bernama