Kejutan demi kejutan menampilkan reaksi pelbagai. Ada kejutan menyedihkan, ada kejutan menggembirakan malah tidak kurang juga ada kejutan yang agak misteri.

Yang menyedihkan antaranya mungkin berkaitan nasib penjawat awam gred DG41 ke atas yang tidak menerima bonus pada Hari Raya Aidilfitri, yang menggembirakan mungkin berkaitan pelaksanaan Cukai Barang dan Per­khidmatan (GST) yang diisytiharkan sifar peratus. Bagi yang misteri pula mungkin boleh dikaitkan dengan aset yang dirampas dari kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan di beberapa lokasi dan mengambil masa berhari-hari.

Rakyat mungkin boleh memahami apabila berlaku pe­ralihan kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan PH pada 9 Mei lalu akan turut berlaku pelbagai perubahan dalam sistem pentadbiran negara.

Analogi peralihan dan perubahan dalam Malaysia boleh difahami menerusi pertukaran ketua sesebuah syarikat, pemilik perniagaan mahupun membabitkan pasukan sukan. Bos baharu akan memiliki karakter tersendiri tetapi awas ada juga kemungkinan mereka sengaja mencipta kelainan kerana takut bayangan ketua atau bos lama.

Begitu juga kerajaan PH pada masa ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan barisan kepimpinannya dilihat dalam proses melakukan perubahan.

Dr. Mahathir menganggap pentadbiran kerajaan BN terlalu pincang akibat kekorupan. Justeru atas nama memulihkan semula Malaysia, langkah drastik sedang dan akan terus dilakukan Dr. Mahathir antaranya ialah menukar individu-individu yang memegang jawatan penting seperti Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Proses pertukaran tersebut masih berlangsung dan dikhabarkan senarai seterusnya mungkin melibatkan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Fuzi dilantik sebagai KPN menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 4 September 2017. Sepanjang berada dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Fuzi banyak menghabiskan kerjayanya sebagai pegawai di Cawangan Khas malah sebelum dilantik ke jawatan tertinggi PDRM, beliau merupakan Pengarah Cawangan Khas.

Dalam tempoh belum sampai setahun memegang jawatan sebagai KPN, belum kedengaran kontroversi membabitkan pegawai tertinggi PDRM itu. Malah, dalam tempoh tersebut, Fuzi boleh dianggap masih dalam proses membuat pemerhatian, menilai, serta merancang keseluruhan organisasi PDRM.

Sebelum Fuzi dinaikkan ke jawatan tertinggi itu, ramai pegawai PDRM sedang berkecamuk dengan isu rasuah melingkari pegawai kanannya. Malah, Khalid sendiri diviralkan mempunyai hubungan dengan ketua samseng. Justeru itu, bukan senang untuk Fuzi melakukan pemulihan dalam tempoh singkat beliau memegang jawatan KPN.

Mengikut orang-orang yang dekat dengannya, Fuzi merupakan pegawai polis yang bekerja mengikut ‘buku’. Difahamkan, beliau sendiri tidak melobi untuk menduduki jawatan nombor satu tersebut. Jadi jika benar beliau disingkirkan selepas ini, khabarnya beliau akan menerima dengan reda dan tenang keputusan tersebut. Sesetengah pihak mengaitkan penyingkirannya dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang belum selesai.

Di sebalik langkah penyingkiran orang-orang besar dalam organisasi penting itu, rakyat cuma menunggu yang terbaik untuk kehidupan di negara ini manakala bagi isu melibatkan PDRM, warga polis yang berintegriti hanya mahu mempunyai KPN yang menjadi ketua kepada semua warganya.