Menerusi satu kenyataan bersama KPM dan SPR, kerjasama berkenaan adalah susulan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam sesi Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14 yang telah bersetuju sebulat suara menurunkan had umur pengundi dan calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

"Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik semalam.

"Menteri Pendidikan menyatakan sokongan penuh kepada SPR terhadap semua inisiatif dan memaklumkan kesediaan KPM untuk membantu SPR di dalam menjalankan semua programnya di sekolah-sekolah dan insititut pengajian tinggi awam," katanya.

Kenyataan itu berkata, SPR bersama KPM merancang untuk menganjurkan 'Program Pendidikan Sivik - Road To School' yang melibatkan 2,436 buah sekolah menengah di Malaysia pada tahun depan membabitkan 545,000 pelajar tingkatan empat dan tingkatan enam.

Menurutnya, SPR juga mencadangkan penganjuran forum atau dialog di universiti-universiti awam untuk menimbulkan kesedaran mengenai proses demokrasi dan pilihan raya khususnya dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi serta untuk memberi penerangan mengenai pindaan had umur mengundi dan calon kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih automatik.

"Bagi memastikan semua pelajar dan guru di sekolah mendapat maklumat terkini mengenai proses perjalanan pilihan raya, SPR dan KPM akan memperkenalkan 'QR Code' pada buku teks sekolah bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat terkini dengan mengimbas QR Code itu.

"Ini akan memastikan pelajar dan guru mendapat maklumat terkini mengenai proses perjalanan pilihan raya tanpa memerlukan pindaan buku teks," katanya.

Sementara itu, kenyataan itu berkata, sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 70 program telah dijalankan dengan penyertaan 33,814 mahasiswa dan pelajar. - K! ONLINE