Pengerusi PADU Datuk Seri Alias Ahmad berkata anugerah yang diterima Ketua Pegawai Eksekutif PADU Khadijah Abdullah itu disampaikan dalam satu majlis berprestij yang diadakan di London,  baru-baru ini.

"KPM ingin menyatakan rasa bangga kerana menerima anugerah ini. Pelan pendidikan  ini adalah dokumen kebangsaan diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta berada di landasan yang betul," katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi

Menurutnya, pemilihan PADU sebagai penerima anugerah itu juga adalah hasil daripada transformasi Pelan Pendidikan sistem pendidikan nasional Malaysia.

"PADU dipilih sebagai penerima kerana pengiktirafan yang diberikan untuk visi, inovasi dan diakui dalam menyampaikan perubahan transformasi dalam pendidikan seterusnya memberi kesan positif yang berpanjangan demi kepentingan rakyat," katanya.

Alias berkata KPM berjaya menewaskan beberapa pesaing bagi kategori itu iaitu syarikat multinasional global seperti Royal Dutch Shell Plc, Kumpulan Perbankan Lloyds, Rolls-Royce, BAE Systems dan Fujitsu. - Bernama