Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.

Jelasnya, dalam pertemuan itu kedua-dua pihak bersetuju untuk memperhalusi kaedah pembiayaan dana dan pelaksanaan projek bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan telus.

“Selain itu, kerajaan Sarawak juga bersetuju untuk pelaksanaan perkara ini dijalankan mengikut fasa bagi memastikan setiap perancangan yang dibuat dapat menepati kriteria dan tempoh masa yang diperlukan.

“Segala usaha yang digerakkan ini demi manfaat anak-anak di Sarawak bagi memastikan mereka dapat menikmati pendidikan dalam suasana selesa dan menyeronokkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Maszlee, kerajaan Pakatan Harapan sentiasa komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan berkualiti buat semua anak-anak dan akan berusaha sehabis baik ke arah itu.

Februari lalu, jemaah menteri dalam kabinet telah meluluskan dan bersetuju hutang RM1 bilion kerajaan Sarawak dengan kerajaan persekutuan akan digunakan untuk membaik pulih sekolah daif di negeri itu.

Dengan kelulusan itu, ia akan memberi manfaat kepada 436,000 murid di Sarawak.

Kabinet juga telah bersetuju agar projek itu dipantau rapi untuk memastikan wang RM1 bilion digunakan secara efisien dan memberi manfaat kepada semua anak murid dan warga guru di sekolah yang terbabit. - K! ONLINE