Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, sebelum ini pihaknya pernah merancang untuk membina projek perumahan bagi golongan B40 di tapak kondominium tersebut, tetapi ia dilihat tidak bersesuaian untuk dibina.

"Namun kedudukan asas tanah di kawasan itu didapati tidak sesuai untuk didirikan rumah atau bangunan. Jadi kita akan menukarkan kawasan itu sebagai taman reakreasi. Lokasinya strategik dan masyarakat sekitar boleh gunakannya.

"Setakat ini jawatankuasa mengenai Highland Towers telah lima kali bermesyuarat dan telah mengenal pasti pemilik sah bangunan itu. Kita sedang dalam peringkat mengusahakan cadangan bagi membangunkan kawasan itu. Ia masih dalam perancangan dan InsyaAllah saya akan luluskan bila sampai masanya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran kempen #Girl2Leaders Malaysia. Turut hadir isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Mohammad yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis). - Bernama