Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, peruntukan itu diberikan selepas mengambil kira dan meneliti masalah utama yang perlu diambil perhatian oleh pihaknya.

Beliau berkata, peruntukan itu diluluskannya selepas beliau berbincang dengan semua Yang Dipertua (YDP) di Negeri Sembilan dalam lawatan kerja seharinya dan turut dibincangkan adalah isu-isu berkaitan perumahan dan pengurusan sisa pepejal.

"Untuk di Bahau, dibawah Majlis Perbandaran Jempol, saya meluluskan peruntukan RM1.7 juta, iaitu RM500,000 untuk mengatasi masalah banjir di pekan Bahau, manakala RM1.2 juta lagi untuk pembinaan Bahau Walk. Untuk Bahau Walk ini kita berikan dahulu RM500,000 sebagai peruntukan awal untuk jalankan kerja-kerja awal," katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat bangunan baharu Majlis Perbandaran Seremban di sini, hari ini.

Bagi Majlis Perbandaran Port Dickson pula, Zuraida berkata, peruntukan RM500,000 diberikan untuk membina kemudahan awam di Batu 5, memandangkan lokasi itu menjadi tumpuan persinggahan pelancong terutamanya dari China.

"Saya difahamkan setiap hari, kira-kira 40 bas berhenti di Batu 5 dan mereka tidak berhenti di Telok Kemang. Jadi memang ada keperluan untuk disediakan kemudahan seperti tandas awam dan mungkin juga gerai penjaja. Ini juga sekali gus untuk merancakkan lagi ekonomi di Port Dickson," katanya.

Dalam pada itu, Zuraida juga telah meminta agar satu jawatankuasa diwujudkan diperingkat negeri bagi membuat kajian dan mengambil tindakan terhadap projek-projek pembangunan pembinaan hotel di persisiran Pantai Port Dickson. - Bernama