Menteri KPKT, Zuraidah Kamaruddin berkata, pihaknya akan melihat semula masalah tersebut dan mencari mekanisme terbaik bagi memastikan kadar penolakan melibatkan pinjaman rumah pertama serta rumah mampu milik dapat diselesaikan.

"Ketika ini kita sedang menyelaraskan 'credit rating' untuk pembelian rumah kos rendah dan akan bermesyuarat dengan Kementerian Kewangan serta BNM selepas Hari Raya Aidilfitri bagi membincangkan masalah dihadapi pembeli yang sukar mendapatkan pinjaman perumahan.

"Isu umum sekarang kita lihat berdasarkan gaji pertama pemohon pinjaman, mungkin mereka tidak mampu tetapi kebanyakan rakyat Malaysia sekarang terutama yang berpendapatan rendah mempunyai pendapatan kedua dan ketiga tetapi tidak diambil kira selain isteri juga mempunyai pendapatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Zuraidah, sehubungan itu kementerian akan mencari mekanisme supaya pendapatan pembeli yang tidak kira tetap atau sampingan diambil kira melalui bukti dokumen selain memberi kelonggaran kepada peminjam.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh bagi membincangkan isu perumahan rakyat di negeri tersebut. - K! ONLINE