Menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin berkata, proses libat urus bersama semua pihak berkepentingan sudah selesai namun ada sebahagian penduduk yang tidak sempat menyatakan persetujuan secara rasmi.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan negeri Selangor menerusi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dapat menyelesaikan proses pengambilan tanah bulan ini.

"Sebelum ini majoriti penduduk sudah bersetuju tapi saya mahu ikut prosidur yang betul (dalam mendapatkan persetujuan) dan tiada penduduk yang tertinggal," katanya selepas menghadiri satu program di Kampung Baru Salak Selatan di sini hari ini.

Beliau berharap urusan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri melalui MPAJ dapat diselesaikan bulan ini sebelum kerja merobohkan Highland Towers dapat dilakukan sekitar hujung tahun ini.

Zuraida sebelum ini dilaporkan berkata, Highland Towers akan dirobohkan selewat-lewatnya pada Jun 2019.

Terdapat cadangan untuk membangunkan semula lokasi strategik itu sebagai taman rekreasi selain pembinaan 50 unit bungalow.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers setinggi 12 tingkat di Hulu Kelang tumbang dalam tragedi yang meragut 48 nyawa. - Bernama