Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihak kementerian akan menyelidik dan menyemak semula terlebih dahulu keperluan untuk menjalankan kerja-kerja tersebut di kawasan rumah flat.

“Dalam polisi perumahan negara, ada satu polisi untuk membangunkan semula rumah flat yang berusia lebih 30 tahun.

“Jadi, kita akan selidik dan semak semula dan sekiranya ada keperluan, kita akan bincang dengan kerajaan negeri sama ada untuk membaik pulih atau membina semula rumah flat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis penutup Konvensyen Pemerkasaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Zuraida diminta mengulas mengenai perkara itu selepas seramai 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai, Ampang Jaya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara susulan penemuan keretakan di bangunan itu sejak Jumaat lalu.

Kesemua penghuni daripada 37 keluarga itu dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat sebagai langkah keselamatan.

Sementara itu, menurut Zuraida, pihak kementerian hanya boleh memantau dan melihat kaedah atau cadangan untuk membantu mangsa yang terlibat.

“Rumah flat di Keramah Permai merupakan sebuah projek di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan kerajaan negeri bertanggungjawab terhadap perumahan tersebut.

“Saya akan mengadakan lawatan ke lokasi kejadian esok untuk mengenal pasti masalah keretakan di flat itu dan melihat bantuan yang boleh disalurkan kepada penduduk,” katanya. - K! ONLINE