Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, kewujudan pangkalan data itu diyakini dapat mengelakkan pihak yang tidak berkenaan mengambil hak orang lain terutama dalam agihan rumah kos rendah. 

"Adalah sangat menyedihkan kerana ketiadaan sistem pangkalan data ini menyebabkan ramai yang menunggu berpuluh tahun untuk memiliki rumah sendiri  namun peluang mereka berulang kali diambil oleh orang lain yang mempunyai kaitan dengan pihak tertentu," katanya kepada  pemberita selepas sesi dialog mengenai isu perumahan yang dihadiri kira-kira 120 penduduk Kuala Terengganu di sini malam tadi. 

Menurutnya pangkalan data itu akan mengandungi segala maklumat asas termasuk kelayakan, kemampuan bakal pembeli serta permintaan dan penawaran rumah di lokasi tertentu.

Raja Bahrin yang juga pengerusi Pakatan Harapan Terengganu berkata, jika masalah perumahan itu dibiarkan berterusan, rakyat negara ini akan kekal di belakang dari segi pemilikan rumah khususnya jika dibandingkan dengan Singapura.

"Di Singapura, 90 peratus rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama telah memiliki rumah sendiri walaupun kos sara hidup di negara itu lebih tinggi," katanya.

Beliau juga berharap kerajaan Terengganu akan mengkaji semula premium tanah di negeri itu tidak terlalu tinggi berbanding negeri jiran bagi menarik lebih banyak pelaburan sekali gus menjana ekonomi negeri. - Bernama