Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd., Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, tiga hospital pakar baharu itu bakal dibuka secara rasmi pada tahun depan.

"Tiga buah hospital pakar KPJ itu di Miri, Sarawak, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, Johor dan Sri Gading, Batu Pahat, Johor.

"Proses pembinaan ketiga-tiga hospital pakar ini telah 90 peratus siap dan proses pembinaan setakat ini berjalan dengan lancar.

"Selain itu, bagi mempelbagaikan sektor perniagaan KPJ, lima pusat kesihatan akan dibuka pada tahun depan dengan lokasi tumpuan di bandar-bandar kecil di sekitar Lembah Klang.

"Pusat kesihatan ini menawarkan perkhidmatan pesakit luar kepada pelanggan namun mempunyai lapan orang doktor pakar selain 20 hingga 30 jururawat untuk memberikan rawatan terbaik," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Hospital Pakar KPJ Perlis di sini hari ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat hadir merasmikan hospital pakar swasta pertama di negeri yang mempunyai kira-kira 250,000 penduduk itu.

Turut berkenan berangkat hadir, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Pengurus Besar Hospital Pakar KPJ Perlis, Sharian Hussain. - K! ONLINE