Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Stephen Wong berkata, kesemua aduan tersebut melibatkan kegagalan para peniaga menurunkan harga perkhidmatan dan barangan di premis mereka.

Menurut Stephen, kebanyakan aduan melibatkan harga di pasar raya, peruncitan dan perkhidmatan tempat letak kereta.

"Sejak lima hari lalu kita telah menerima 42 aduan perbezaan harga selepas GST dimansuhkan bermula awal Jun lalu.

"Aduan ini melibatkan kegagalan peniaga menurunkan harga di premis mereka. Kita harap peniaga akan mematuhi usaha kerajaan menurunkan harga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Operasi Catut 4.0 di Kompleks Karamunsing di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, V. Ravichandran.

Hadir sama, Penolong Kanan Pengarah Kastam Sabah, Purna Limbu dan Penolong Pengarah Kastam Sabah, Venitha Lojuti.

Sementara itu, 29 amaran telah dikeluarkan termasuk dua notis terhadap peniaga yang gagal memansuhkan GST di premis masing-masing di negeri ini. - K! ONLINE