Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya telah menjalankan risikan selama dua minggu sebelum menyerbu premis yang dipercayai membekalkan selipar dan kasut kepada peniaga di pasar malam.

Jelasnya, berdasarkan keterangan daripada pekerja stor berusia 47 tahun di premis tersebut, syarikat itu telah beroperasi kira-kira 10 tahun lalu dalam perniagaan borong selipar dan kasut.

"Dalam serbuan itu, kita telah menyita sebanyak 240 pasang selipar tiruan jenama Puma dan 432 pasang selipar berjenama Gucci dianggarkan bernilai RM3,360.

"Hasil siasatan mendapati, syarikat tersebut merupakan pembekal selipar kepada peniaga yang rata-ratanya terdiri daripada peniaga pasar malam di sekitar negeri Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor dan Perak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) (b) Akta Perihal Dagangan 2011. - K! ONLINE