Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, majlis tindakan itu yang akan bermesyuarat buat pertama kali pada hujung bulan ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

"Pelan tindakan itu turut merangkumi jadual penguatkuasaan dan operasi yang dijalankan serta akan dilaksanakan berhubung sistem SST. Kami akan bentangkan semua maklum balas daripada rakyat berhubung punca dan kos sara hidup menerusi beberapa kementerian terutamanya KDPNHEP yang melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan harga barangan.

"Maklumat yang diperolehi akan dikaji dan dibentangkan sebelum satu rangka strategi diambil bagi membantu mengurangkan beban rakyat," katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi Kesedaran Pengguna Sempena Hari Kebangsaan ke-61 di Pangsapuri Ampang Jajar di sini hari ini.

Konvoi daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan 30 kenderaan termasuk motosikal berkuasa tinggi yang akan menjelajah sejauh 42 kilometer di Pulau Pinang itu akan berhenti di beberapa kawasan terpilih bagi menyampaikan maklumat mengenai sistem cukai SST kepada pengguna. - Bernama