Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Johary Yacob berkata, lelaki berusia lingkungan 50-an dan merupakan pemegang lesen barang kawalan tersebut melakukan perbuatan berkenaan semasa tiga anggotanya melakukan pemeriksaan di premis itu kira-kira pukul 10.45 pagi ini.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu mempunyai dalam milikan had melebihi dari yang dinyatakan dalam lesen iaitu sebanyak 140 kilogram LPG pada satu-satu masa.

"Bertindak atas kesalahan berkenaan, satu tindakan kes diambil ke atas premis itu dan pemilik premis tersebut cuba merasuah pasukan berkenaan dengan menawarkan RM2,600 agar tidak diambil tindakan ke atas kesalahan yang telah dilakukan," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Johary berkata, anggota penguat kuasa KPDNHEP terlibat bertindak menahan peniaga runcit LPG itu sebelum menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada golongan peniaga supaya tidak cuba merasuah  pegawai dan anggota KPDNHEP kerana pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kesalahan sedemikian. - K! ONLINE