Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan subsidi itu akan dijalankan sepenuhnya selepas pihak kementerian menerima data akhir senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Jelasnya, beliau telah difahamkan bahawa pengumpulan data oleh pihak sekreteriat BSH berada pada fasa akhir sebelum pengumuman perlaksanaannya kelak.

“Pelaksanaannya subsidi minyak ini bergantung kepada kepantasan pihak sekreteriat memberi data terkini penerima BSH di negara ini kepada kementerian.

“Kita mahu memastikan data penerima BSH yang diperoleh itu kredibel. Mereka yang layak menerima, seharusnya masuk dalam senarai manakala yang tidak layak perlu dikeluarkan," katanya dalam Program Dialog Menteri KPDNHEP bersama media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Saifuddin berkata, setakat ini, sebanyak 90 peratus penerima BSH menerima bayaran melalui akaun bank manakala 10 peratus lagi dibayar secara tunai.

Jelasnya, pihak sekreteriat BSH sedang berunding dengan pihak bank untuk membantu membuka akaun bank kepada 10 peratus penerima bantuan yang masih belum mempunyai akaun.

“Penerima yang menerima bantuan secara tunai ini berada di kawasan pedalaman, Sabah dan Sarawak. Apabila kesemua penerima BSH ini mempunyai akaun, mudah untuk kita menyampaikan subsidi minyak secara bersasar.

“Kita berharap sekiranya subsidi ini berjaya, kerajaan akan melanjutkan bantuan subsidi kepada barangan lain seperti minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan tepung kepada golongan B40," katanya.

Tambahnya, sekiranya pelaksanaan subsidi  itu memberi penjimatan kepada kerajaan, kementerian bersedia untuk meluaskan pemberian subsidi minyak petrol kepada golongan M40. - K! ONLINE