Serbuan di dua premis perniagaan di bandar raya ini pada pukul 12 tengah hari itu berjaya merampas 3,134 pelbagai jenis aksesori telekomunikasi disyaki tiruan tersebut bernilai keseluruhan RM75,299.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, tindakan penguatkuasaan tersebut dilakukan selepas menerima aduan daripada  pemilik sah cap dagang barangan berkenaan iaitu Samsung.

"Antara barangan yang berjaya dirampas ialah bateri, S Pen, fon telinga kabel USB, adapter pengecas kereta dan bluetooth stereo yang kesemuanya kononnya jenama Samsung tetapi sebenarnya tiruan.

"Risikan sebelum itu mendapati kedua-dua peniaga yang berusia 30-an menjual aksesori telekomunikasi disyaki tiruan tersebut dengan harga lebih kurang 70 peratus lebih murah sejak kira-kira setahun lalu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP Terengganu di sini hari ini.

Saharuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekal atau menawarkan barangan yang menggunakan suatu perihal dagangan palsu. - K! ONLINE