Dalam operasi kira-kira pukul 9.30 pagi itu, sebanyak empat kotak mengandungi 108 peket didapati dijual di premis tersebut.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Kulim, Mohd. Fazly Edros berkata, sepasukan penguat kuasa membuat operasi di beberapa premis runcit dan borong di kawasan tersebut dan mengesan penjualan gula-gula berkenaan di sebuah premis runcit.

"Pemeriksaan menemui empat kotak mengandungi 108 peket gula-gula 'Ghost Smoke' (Cool Fruit Powder) yang disimpan di premis tersebut. 

"Nilai rampasan keseluruhan gula-gula jenis itu dianggarkan sebanyak RM54," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, semua barang yang disita disimpan di stor eksibit KPDNHEP Kulim untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(1) Akta Perihal Dagangan 2011.

"Kita memandang serius terhadap peniaga yang menjual gula-gula jenis ini selepas penggunaannya dalam kalangan pelajar sekolah tular baru-baru ini.

"Gula-gula ini mendedahkan mereka kepada gejala negatif memandangkan ia berfungsi seakan-akan rokok," ujarnya.

Tambahnya, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melanggar peruntukkan di bawah akta berkenaan. - K! ONLINE