Rampasan berkenaan dibuat semasa empat pegawai penguat kuasa KPDNHEP daerah Seberang Perai Tengah menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan di sekitar daerah itu kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Chin Ching Chung berkata, produk berkenaan disyaki menggunakan perihal dagangan palsu dan meragukan.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis menjual barangan runcit itu ada menjual gula-gula Ghost Smoke Cool Fruit Powder.

"Sebanyak 14 bungkus gula-gula tersebut termasuk dokumen berkaitan seperti invois belian telah disita untuk tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

Menurut Ching Chung lagi, pihaknya setakat ini telah menjalankan sebanyak 59 pemeriksaan bagi mengesan penjualan produk itu di peringkat pemborong dan peruncit serta penjaja di kawasan sekolah di seluruh negeri. - K! ONLINE