Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Khalid Tik berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan lima anggota penguatkuasa itu dilakukan pada pukul 5 petang selepas menerima maklumat dan melakukan risikan selama dua minggu.

“Syarikat yang tidak mempunyai lesen barang kawalan baja yang sah daripada KPDNHEP dan tidak pernah membuat permohonan untuk memproses, menyimpan dan menjual baja kawalan tersebut dipercayai menjadikan kilang itu sebagai tempat pemprosesan dan penyimpanan baja.

“Selepas memproses bahan-bahan mentah termasuk habuk kayu dan tanah bakar, mereka akan membungkus dan mengedarkannya kepada pelanggan di seluruh negeri Perak dan sekitarnya,” katanya pada sidang akhbar di kilang tersebut hari ini.

Tambah Khalid, pihaknya menghadapi sedikit kesukaran untuk mengesan aktiviti dan lokasi mereka memandangkan mereka kerap berpindah selain lokasi yang terletak di kawasan terpencil.

“Siasatan awal mendapati kilang tiga blok ini dipercayai aktif sejak lebih enam bulan lalu.

“Dalam serbuan ini kita telah merampas sebanyak 438 beg baja kawalan seberat 14,600 kg yang dianggarkan bernilai RM20,293,” katanya.

Katanya, seorang lelaki berusia 57 tahun yang merupakan pemilik premis turut ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan selepas semua proses tersebut selesai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 dan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 8(1) dan Peraturan 9(2)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Jika didapati bersalah, individu tersebut boleh dihukum denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman denda tidak melebihi RM2 juta bagi pertubuhan yang melakukan kesalahan tersebut,” katanya. - K! ONLINE