Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Khalid Tik berkata, operasi selama enam jam itu bermula pada pukul 10 pagi disertai 18 anggota yang turut disertai empat wakil cap dagang.

“Pasukan penguat kuasa telah menyerbu premis itu yang menjual selipar jenama Birkenstock ketika sedang beroperasi untuk perniagaan dan pemeriksaan menemui sejumlah selipar pelbagai saiz jenama berkenaan yang disyaki barang tiruan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati selipar itu dijual kepada pelanggan di sekitar Perak secara borong dengan harga serendah RM7 dan nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan itu dianggarkan sebanyak RM2,933.

Katanya kesemua barang sitaan dibawa ke stor eksibit KPDNHEP Perak untuk siasatan lanjut.

Khalid berkata, KPDNHEP memandang serius terhadap peniaga-peniaga yang menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan-barangan berjenama yang melanggar undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Peniaga perlu tahu akan kesalahan yang melibatkan suatu perihal dagangan termasuklah suatu pertunjuk, sama ada secara langsung atau tidak langsung dan yang diberikan dengan apa-apa cara berkenaan dengan apa-apa barang yang berhubung dengan cap dagangan yang berdaftar di bawah Akta Cap Dagang 1976,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan seolah-olah barang-barang itu tertakluk kepada apa-apa hak yang berhubungan dengan cap dagangan berdaftar. - Bernama