Timbalan Menteri berkenaan, Chong Chieng Jen berkata, permit import akan membantu mengurangkan kos pengeluaran di kilang-kilang.

Menurutnya ketika ini harga gula di peringkat antarabangsa ialah pada kadar RM1.40 sekilogram bagi gula mentah, manakala gula bertapis berharga RM1.80 sekilogram.

"Bagaimanapun, berikutan dasar kerajaan terdahulu, pengeluar F&B di Sarawak tidak dibenarkan mengimport gula. Akibatnya mereka perlu membeli daripada dua loji penapisan gula di Malaysia 

"Di sebalik harga gula yang rendah di peringkat antarabangsa, pengeluar F&B di Sarawak perlu membayar kira-kira RM RM2.60 hingga RM2.70 sekilogram daripada loji penapisan gula tempatan," katanya pada sidang ahbar di sini hari ini.

Chong berkata, selepas mengadakan pelbagai perbincangan, kementerian telah mengguna pakai dasar 60 peratus-40 peratus untuk memulakan import tersebut.

"Sekiranya sebuah kilang menggunakan 1,000 tan gula setahun bagi pengeluaran mereka sama ada untuk minuman atau makanan, kami memberi kebenaran mengimport 60 peratus daripadanya," katanya sambil memberitahu ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memecahkan monopoli di beberapa sektor di peringkat tempatan. - Bernama