Dalam operasi bermula pukul 4 petang hingga 9.30 malam itu, sebanyak 376 pakaian dan barangan sukan yang menggunakan perihal dagangan palsu bernilai kira-kira RM18,885 dirampas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Mohd. Fazly Edros berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa bersama wakil pemilik cap dagang tersebut telah membuat pemeriksaan terhadap premis berkenaan yang didakwa menjual barang tiruan.

"Operasi ini dilakukan susulan aduan orang awam melalui pengadu yang merupakan wakil cap dagang, Global Trade Shield yang menyatakan peniaga premis meletakkan papan tanda tertera perkataan Nike SB Authorized Dealer," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati kualiti barang seperti baju, jersi, seluar sukan dan kasut serta stokin adalah rendah dan sangat berbeza berbanding produk asli.

"Barangan sukan disyaki tiruan itu juga didapati dijual pada harga yang sama seperti produk asli," ujarnya.

Menurut Mohd. Fazly, pihaknya juga mengesan penggunaan kod barangan yang salah dan tidak wujud pada kotak serta kasut dan ia disahkan oleh wakil cap dagang tersebut.

"Berdasarkan hasil pemeriksaan dan tindakan pada hari kejadian didapati kesemua barangan jenama Nike yang dijual di dalam premis itu menggunakan perihal dagangan palsu," jelasnya.

Tambahnya, antara barang yang dirampas adalah papan tanda bertulis Nike SB Authorised Dealer, 42 helai jersi, 44 seluar sukan dan 135 pasang kasut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Sebanyak dua kes melibatkan barang tiruan dengan nilai rampasan berjumlah RM22,660 direkodkan KPDNHEP Cawangan Kulim sejak Januari lalu. - K! ONLINE