Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini, pihak industri diminta untuk mematuhi garis panduan pematuhan standard filem penghadang haba kenderaan secara sukarela bermula esok.

“KPDNHEP akan mengesyorkan supaya setiap produk filem penghadang haba kenderaan yang akan dijual perlu melalui ujian dan lulus berdasarkan standard MS2669.

“Produk itu perlu mendapatkan pensijilan, label dan kod respons pantas (QR) untuk pengesahan daripada SIRIM Berhad (SIRIM) sebelum filem itu dipasarkan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, garis panduan itu diperkenalkan selepas pihak kementerian menerima sebanyak 112 jumlah aduan berkaitan filem penghadang haba kenderaan dari 2013 hingga tahun ini yang melibatkan isu kualiti, prestasi, harga dan penipuan iklan.

Jelasnya, garis panduan tersebut dilancarkan sebagai panduan dan langkah didikan kepada pihak industri sebelum peraturan mandatori berkenaan filem penghadang haba kenderaan dikeluarkan.

“Pihak industri boleh mendapatkan pensijilan dan menggunakan label berserta kod QR sebagai pengesahan di premis perniagaan masing-masing secara sukarela dengan merujuk kepada KPDNHEP dan SIRIM.

“Garis panduan ini sebagai panduan dan langkah didikan kepada pihak industri sebelum peraturan mandatori berkenaan filem penghadang haba kenderaan dikeluarkan, katanya.

Tambah Saifuddin, pihak industri yang gagal mematuhi garis panduan itu pada tahun depan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Beliau berkata, akta itu memperuntukkan denda RM100,000 bagi orang persendirian atau RM250,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi tiga tahun kerana telah melabelkan penyataan palsu yang boleh memperdayakan pengguna jika sabit kesalahan. - K!ONLINE