Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, notis tersebut dikeluarkan untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat-syarikat yang terlibat berkenaan punca kenaikan harga simen.

Jelasnya, notis itu harus dijawab dalam tempoh tujuh hari dari tarikh dikeluarkan dan kegagalan menjawab dalam tempoh masa tersebut akan mengundang kepada tindakan undang-undang di bawah akta yang sama.

“Sebarang keputusan oleh mana-mana syarikat pengeluar simen yang berlesen untuk menaikkan harga simen perlu dirujuk dan mendapat kelulusan KPDNHEP seperti yang dinyatakan dalam syarat-syarat khas bagi pemborong simen di bawah Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan bukan keputusan mutlak syarikat pengeluar simen tersebut.

“Setakat ini, KPDNHEP belum menerima sebarang makluman rasmi daripada syarikat pengeluar simen berkenaan isu ini dan telah mengarahkan agar mereka segera berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan berjumpa dengan Saifuddin minggu depan untuk membincangkan punca kenaikan harga simen baru-baru ini.

Guan Eng berkata, beliau menerima aduan daripada beberapa syarikat pemaju mengenai kenaikan mendadak harga simen itu yang bimbang akan memberi kesan buruk khususnya kepada sektor pembinaan.

Sehubungan dengan itu, menurut Saifuddin, kerajaan menyeru agar sebarang pengumuman yang bersifat sensitif perlu dibincangkan dan dirujuk bersama terlebih dahulu agar kepentingan rakyat dan pihak-pihak terlibat akan dilindungi.

Jelasnya, pengeluaran notis itu merupakan tindakan kementerian untuk bertanggungjawab kepada isu harga dan sekretariat kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang memantau isu-isu kos sara hidup rakyat. - K! ONLINE