Menurut satu kenyataan KPDNHEP semalam, mereka telah memeriksa dan memantau premis-premis yang dilaporkan mengenakan harga atau caj yang tinggi.

“Kita bertindak tegas dengan mengeluarkan notis dan disiasat untuk menentukan kewujudan unsur pencatutan atau tidak dan langkah proaktif ini berjaya membantu meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi pengguna.

“Pihak penguasaan kementerian juga sentiasa berusaha memastikan pengguna tidak ditindas oleh segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan cuba mengaut keuntungan secara tidak munasabah.

Notis tersebut dikeluarkan selepas bahagian penguatkuasa KPDNHEP membuat operasi bersepadu, Operasi Jaring pada 15 Januari sehingga 31 Mac 2018 bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Katanya, daripada 1,050 notis yang dikeluarkan, sebanyak 46 kertas siasatan telah dibuka atas kesalahan pencatutan.

Operasi Jaring dilaksanakan di seluruh negara di 4 peringkat perniagaan iaitu Peruncit di Pasar Basah Awam, Pemborong di Pasar Borong, Pemborong Dalam Kompleks dan Pemborong Jeti Pendaratan.

“Mekanisme mengenai pelaksanaan peraturan kawalan harga dan anti pencatutan ini akan diperkukuh dari semasa ke semasa agar dapat meningkatkan tahap pematuhan dan kesedaran peniaga kepada peraturan sekali gus menetapkan harga barangan secara lebih berpatutan,” ujarnya. - K! ONLINE