Dr Noor Hisham menerima anugerah tersebut pada majlis penyampaian fellowship itu di Edinburgh Scotland pada Jumaat (2 Feb), sekaligus mengukuhkan kedudukannya dalam rangkaian antarabangsa lebih 17,000 fellow dan anggota RCSEd yang melakar sejarah sejak tahun 1505. 

"Bagi seorang pakar bedah dan pentadbir, penganugerahan Fellowship Ad Hominem daripada College of Surgeons yang tertua dan terbesar di dunia sememangnya satu penghormatan dan pencapaian seumur hidup tertinggi yang boleh dicapai oleh seseorang.

"Yang lebih penting, anugerah  tersebut merupakan pengiktirafan global dari rakan sejawatan antarabangsa saya di peringkat tertinggi. Saya amat terharu dan teruja dengan penganugerahan ini yang merupakan satu penghormatan  untuk saya dan negara," kata Dr Noor Hisham kepada Bernama dalam temubual menerusi telefon dari Edinburgh malam ini. 

Beliau baru-baru ini dilantik ke Lembaga Eksekutif International Society of Surgery (ISS) sebagai Konsul Tugas Khas (2017-2021), menjadikan beliau rakyat Malaysia yang pertama dilantik ke badan antarabangsa yang berprestij itu sebagai pengerusi Global Surgery Committee of ISS pada Disember tahun lepas.

Dr Noor Hisham dianugerahkan pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa termasuk Fellowship Akademi Perubatan Malaysia (2004), Fellowship Kehormat Royal College of Physicians London (2012), Ijazah Kehormat Doktor Perubatan dari Newcastle University of Medicine, Malaysia (2014), Fellowship Kehormat Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (2015), Fellowship Kehormat International College of Dentists (2016) dan Ijazah Doktor Kehormat Perubatan dari Management and Science University (MSU) (2017). 

Beliau menerima ijazah Sarjana Muda dan lepasan ijazah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan menamatkan latihan fellowship dalam Pembedahan Payudara dan Endokrin dari Royal Australasian College of Surgeons (1997-1998). 

Dr Noor Hisham yang masih mempraktikkan profesionnya di Hospital Putrajaya sebagai Pakar Perunding Bedah Kanan dalam Pembedahan Payudara dan Endokrin ialah pakar bedah endokrin yang terkenal di dunia terutama kerana mempelopori teknik dan pendekatannya yang membantu membentuk landskap pembedahan tiroid di peringkat antarabangsa. - Bernama