Program berkonsepkan amal itu akan berlangsung pada 23 dan 24 November ini di Perkampungan Orang Asli Pos Lemoi di Ringlet, Cameron Highlands, Pahang dengan kerjasama syarikat penganjur acara larian berpengalaman, Ten Senses (M) Sdn. Bhd. yang akan bertindak selaku pihak pengurusan teknikal.

Pengarang Kos­mo!, Lokman Othman berkata, acara riadah yang mendapat soko­ngan daripada syarikat jenama pakaian antarabangsa, LOTTO sebagai penaja utama selain beberapa agensi kerajaan dan syarikat korporat lain akan turut dimeriahkan dengan beberapa acara sampingan bagi menghiburkan para peserta dan orang ramai yang hadir.

“Program larian ini dilihat menjadi antara landasan terbaik buat kami untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran anggota masyarakat tentang kewujudan Kosmo! yang kini sudah berusia 15 tahun selain merupakan akhbar berbahasa Melayu No. 1 di negara ini selama empat tahun berturut-turut.

“Kami percaya program larian ini bukan sahaja akan mendekatkan peserta de­ngan akhbar Kosmo!, tetapi juga menarik minat mereka untuk terus menyokong kami menerusi sajian bahan-bahan bacaan yang sentiasa segar dan menepati kehendak mereka setiap hari,” katanya.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, program larian berkonsepkan cross country yang me­nyasarkan 1,000 penyertaan peserta dari dalam dan luar negara itu melibatkan dua kategori ia­itu 25 kilometer (km) dan 50km me­rangkumi jalan raya, kebun sayur dan laluan ken­deraan pacuan empat roda de­ngan sebahagiannya merupakan laluan di kawasan hutan menuju ke Pos Lemoi.

Jelas beliau lagi, walaupun peserta perlu mela­lui kawasan hutan, namun mereka tidak perlu bimbang kerana pihak ke­selamatan akan ditempatkan di­ kawasan-kawasan tertentu di sepanjang trek perlumbaan selain dibantu dengan kehadiran ramai sukarelawan.

“Trek perlumbaan juga tidaklah terlalu sukar kerana peserta hanya perlu mengikut laluan ken­deraan bermula daripada kawasan permulaan di Ringlet hinggalah ke kawasan penamat di Pos Lemoi.

“Peserta pasti akan teruja kerana di sepanjang laluan, mereka akan dihidangkan dengan pemandangan indah sekitar Ringlet terutamanya kebun-kebun sayur yang menghijau selain terdapat beberapa kawasan tinjau yang menyajikan pemanda­ngan gunung-ganang,” katanya dengan memberitahu, peserta juga akan mendapat cenderahati bernilai lebih RM150 selepas mendaftar diri untuk menyertai la­rian itu.

Mengenai program amal dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pula katanya, ia akan dilaksanakan pada 23 November di Pos Lemoi bagi membantu masyarakat Orang Asli Temiar di situ selain murid Orang Asli yang menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi.

Justeru katanya, orang ramai yang berminat untuk merasai kemeriahan program tersebut boleh membuat pendaftaran secara online di www.ticket2u.com bermula hari ini bagi mengesahkan penyertaan.