Farrah Dayana yang merupakan seorang eksekutif pemasaran berkata, dia menghabiskan lima daging tulang rusuk dalam masa lima minit 50 saat sekali gus berjaya menewaskan sembilan peserta lain dalam kategori wanita.

"Saya sebenarnya sedang diet dengan menyertai program jom kurus, namun jurulatih dan suami memberi sokongan penuh kepada saya untuk menyertai pertandingan ini. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya muncul sebagai juara.

"Untuk menyertai pertandingan ini, saya membuat latihan dengan menonton pertandingan yang sama di YouTube dan sebenarnya daging tulang rusuk juga adalah makanan kegemaran saya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kemenangan tersebut membolehkan Farrah Dayana membawa pulang hadiah berupa makan percuma selama setahun di Tony Roma’s yang disampaikan oleh Pengurus Besar Jenama Tony Roma's, Muhamad Adam Mah.

Sementara itu, Muhamad Amir Ayub, 31, pula muncul juara bagi kategori lelaki selepas menghabiskan 10 daging tulang rusuk dalam masa tujuh minit 58 saat.

Kejayaan Farrah Dayana dan Muhamad Amir dalam pertandingan yang diadakan di pusat beli-belah IOI City Mall itu turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).