Dalam kejadian pukul 3 petang itu, Amirrudin Alias, 35, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menunggang salah sebuah motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Seorang lagi penunggang motosikal, Muhammad Shaiffudin Zahriman, 20, pula dilaporkan cedera ringan manakala pemandu treler, T. Ugunthan, 35, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, motosikal yang ditunggang Amirrudin dikatakan telah bergesal dengan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan mengakibatkan dia jatuh dan terperusuk ke bawah treler yang berada di hadapannya.

Katanya, Amiruddin yang datang dari arah Batu 9, Hulu Langat itu sedang dalam perjalanan ke ibu kota.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat manakala Muhammad Shaiffudin di hantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Sehubungan itu, kita meminta saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspekstor Salbiah Anis di talian 011-2905 2233 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE