Kajian pada tahun lalu itu turut mendedahkan, BMI lelaki akan meningkat berterusan terutamanya selepas mereka bergelar seorang bapa. Kata kajian tersebut lagi, masalah kegemukan berlaku disebabkan oleh perasaan bahagia. Mereka tidak lagi mempedulikan rutin gaya hidup sihat tetapi, tumpuan lebih diberikan kepada keluarga.

Selain itu, faktor kehidupan yang lebih teratur dan kekerapan bersosial seperti kerap menghadiri undangan majlis juga merupakan penyebab ke­gemukan. Perkara tersebut berlaku kerana individu lazimnya akan makan dalam kuantiti lebih banyak berban­ding waktu biasa.

Membaca hasil kajian ini membuatkan ramai tersenyum. Mana tidaknya, alasan mengapa menjadi gemuk atau boroi yang sering digunakan ramai lelaki rupa-rupanya telah dibuktikan secara ilmiah dan empirikal. Ia bukan sekadar cakap-cakap kosong.

Pada kebanyakan masa, jika ada yang bertanyakan mengenai peningkatan berat badan terutama selepas berkahwin, antara respons spontan yang diberikan lelaki adalah kerana kehebatan isteri memasak.

Hakikatnya, alasan yang sama turut diberikan beberapa kenalan walaupun mereka sendiri maklum, isteri masing-masing sangat jarang masuk ke dapur.

Sehingga kini, saya belum berjumpa seorang pun rakan lelaki yang sudah berkeluarga secara terbuka dan ikhlas me­ngaku kegemukan mereka berpunca sikap malas berdiet dan culas mengamalkan gaya hidup sihat. Ada sahaja perkara lain dipersalahkan.

Memuji (menyalahkan) isteri merupakan jalan terbaik untuk mengalih tumpuan orang lain terhadap keadaan perut dan lemak pada badan.

Mungkin atas faktor ‘apa yang dihajati, sudah dikecapi’ dirasakan oleh kebanyakan suami orang apabila kekasih hati sudah pun secara rasmi dimiliki. Menjaga penampilan dan berat badan tidak lagi menjadi keperluan.

Apa yang pasti, masalah kegemukan di negara ini semakin membimbangkan apabila hampir 9.9 juta rakyat didapati gemuk. Malaysia juga ‘diiktiraf’ sebagai negara paling obes di Asia Tenggara dan tersenarai dalam kedudukan ke-44 daripada 46 buah negara yang mempunyai penduduk paling malas berjalan di dunia.

Persepsi tipikal lelaki gemuk itu suami orang harus dihentikan. Menjadi suami orang tidaklah bermakna kita boleh mengabaikan kesihatan badan dan membenarkan peningkatan BMI berlaku secara berleluasa.

Amalan gaya hidup sihat seperti parkir kereta sedikit jauh dari destinasi yang memaksa kita berjalan lebih, menggunakan tangga berbanding lif, mengurangkan aktiviti ‘mengeteh’ di pejabat dan mengambil berat nilai kalori dalam setiap pemakanan boleh membantu kita mengawal berat badan.

Kaum lelaki lebih-lebih lagi golongan suami harus me­nguatkan azam untuk sama-sama mengatasi masalah boroi ini. Kita harus kuat semangat. Secara peribadi, saya percaya usaha memboroikan suami merupakan satu konspirasi terancang oleh para isteri. Mereka rasa sangat selamat apabila perut suami semakin ke depan.

Sentiasalah berfikir, siapa tahu, isteri kita sengaja masak dengan lebih sedap supaya kita makan bertambah. Mereka juga sengaja menghidangkan minuman terlebih manis de­ngan air muka menawan supaya kita tidak sedar telah minum lebih secawan.

Mengawal berat badan bermakna kita menjaga kesihatan. Saya juga sedang cuba untuk mengubah gaya hidup sedikit demi sedikit. Saya juga ber­usaha mencipta masa supaya dapat melakukan sedikit senaman dan berkira-kira nilai kalori hidangan sebelum makan.

Semoga usaha ini dapat menjadikan saya suami dan bapa yang lebih sihat dan aktif. Walaupun isteri saya mulai runsing apabila saya mula menjaga badan, ia sebenarnya tidak mengapa. Ketika segak dahulu, boroi sekarang dan mungkin segak semula suatu hari nanti, hanya dia seorang permaisuri hati.