Menurut Presiden Persatuan Raggae Antarabangsa Malaysia, Fauzi Ahmad, acara yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 20 hingga 22 September depan tersebut diadakan sempena Hari Keamanan Sedunia yang disambut setiap 21 September di seluruh dunia.

Justeru, pelbagai program telah dirancang membabitkan 14 badan bukan kerajaan (NGO) tempatan sebagai salah satu usaha menerapkan nilai keamanan dalam kalangan masyarakat.

“Pelbagai program telah dirancang bagi tujuan mengeratkan perpaduan dan keharmonian masyarakat. Antaranya, aktiviti World Clean Up Day yang akan berlangsung serentak di seluruh negara.

“Menerusi program berkenaan NGO dan peserta yang terlibat akan membersihkan kawasan yang telah dipilih,” kata Fauzi ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Selain NGO, acara tersebut turut mendapat kerjasama dan sokongan syarikat-syarikat korporat, institusi pengajian tinggi serta sekolah-sekolah.

Dalam deretan aktiviti yang telah dirancang paling istimewa adalah The Human Chain (Rantaian Manusia). Setakat ini aktiviti tersebut telah menerima 5,000 penyertaan untuk mewujudkan satu rantaian manusia terbesar.

“Aktiviti The Human Chain ini dijangka akan mencipta rekod rantaian manusia terpanjang di Perak. Acara ini terbuka kepada semua pengunjung yang hadir ke acara berkenaan.

“Sambutan ini turut disertai oleh peserta dari Thailand dan Indonesia. Jadi, pihak kami menyediakan pelbagai aktiviti bersama masyarakat termasuk konvoi motosikal berkuasa tinggi dan sederhana bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Keamanan Sedunia,” ujar Fauzi.

Tambah Fauzi, penganjur menyasarkan kehadiran seramai 20,000 pengunjung ke lokasi acara iaitu  Marina Island Pangkor untuk membuktikan sokongan terhadap keamanan dan keharmonian masyarakat sejagat.

Kemuncak acara adalah konsert Reggae World Peace yang diadakan pada 21 September, pukul 8 malam sebelum ditutup dengan simposium pada keesokan harinya.

“Jika kita benar-benar ikhlas mahukan keamanan dan perpaduan sentiasa wujud dalam negara serta dunia, mari bersama-sama kami untuk memeriahkan lagi sambutan acara ini,” ujarnya. - Bernama