Pengarah Jualan dan Pemasaran hotel berkenaan, Normah Ahmad berkata, pihaknya memilih konsep tersebut bagi mengelakkan pembaziran iaitu dengan menyediakan makanan mengikut jumlah tempahan tetamu sahaja.

Menurut beliau, menerusi kaedah tersebut lebihan makanan dapat dikurangkan berbanding hidangan konsep secara buffet, namun kualiti juadah tetap diutamakan demi kepuasan pelanggan.

“Bertemakan ‘Citarasa Bazaar Ramadan’, sudah semestinya masakan kampung dipilih kerana  kebanyakan pelanggan menggemari menu-menu seperti ini semasa berbuka puasa.

“Lebih daripada 100 hidangan akan disediakan termasuk menu signitur hotel setiap kali bulan Ramadan iaitu kambing Kabuli dan nasi Kabuli berempah, bubur lambuk kambing, rendang Tok Man dan sup tulang merah terangkat.

“Turut mencabar selera seperti sotong sumbat, kari kepala ikan salmon dan kerabu mangga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Lebih istimewa, juadah kali ini disedikan oleh Cef Izhar Khusairie, Cef Azman Azelah dan Cef Nasir Shah.

Mereka merupakan pemenang pingat emas pada Pertandingan Malaysia Chef and Cook Congres 2019 yang diadakan di Kuala Lumpur pada bulan lalu.

Jelas Normah lagi, selain dihiburkan dengan persembahan ghazal, pengunjung juga boleh menyaksikan demonstrasi memasak dodol tradisional setiap hari oleh cef hotel itu.

“Kita juga akan mendermakan setiap RM1 daripada tempahan buffet Ramadan pelanggan bagi mengisi tabung kebajikan anak yatim dan asnaf menerusi kerjasama dengan Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak,” ujarnya.

Hidangan bufet Ramadan di hotel berkenaan ditetapkan pada harga RM72 bagi dewasa manakala RM55 bagi warga emas dan kanak-kanak.

Pihak hotel turut menawarkan harga istimewa bagi mereka yang menempah untuk berbuka puasa secara berkumpulan.

Untuk tempahan, orang ramai boleh menghubungi talian 05-2555 555 atau 013-4538 383. - K! ONLINE