“Mungkin kerana faktor umur, kita memerlukan suasana tenang di dalam bilik, warna menghijau dan kemas sentiasa,” jelas Zam, sahabat saya yang telah mula me­ngubah dekorasi kediamannya secara berperingkat ekoran keterujaannya menonton video Marie di YouTube.

Menurut beliau, pengubahsuaian tersebut tidak perlu melibatkan perbelanjaan yang besar tetapi kreativiti bagaimana dia menyusun barangan, menyimpan dan menggunakan barang itu semula.

Sejujurnya ketika itu, saya tidak tahu-menahu mengenai kaedah yang diperkenalkan oleh pengasasnya iaitu seorang wanita yang berasal dari Jepun, Puan Marie Kondo.

Selepas pulang ke rumah, saya mula membaca dan menonton beberapa video di YouTube mengenai Marie dan kaedah ajaibnya itu, sekali gus mula menyuntik semangat untuk menjadi lebih bersistematik dalam penyusunan baju, kemasan pakaian dan juga di seluruh ruang di dalam rumah.

Kaedah KonMari telah menjadi satu fenonema baharu bagi golongan wanita sehingga Marie berjaya menghasilkan buku bertajuk The Life Changing Magic of Tidying yang telah terjual berjuta unit dengan diterjemahkan ke pelbagai bahasa utama bagi meluaskan lagi pasarannya ke seluruh dunia.

Melalui platform media sosial, kaedah KonMari ter­nyata berjaya membantu ramai wanita daripada pelbagai latar belakang dengan mempelajari teknik yang betul mengemas rumah, menjadikan susunan pakaian lebih kemas dan teratur serta yang penting tidak menyesakkan minda serta pandangan mata.

Marie seorang wanita bertubuh kecil dan sentiasa tersenyum itu memiliki seni melipat pelbagai jenis pakaian dan cara lipatan itu menjadi ikutan buat ibu-ibu yang sentiasa menghadapi masalah dalam aktiviti melipat pakaian untuk diri sendiri termasuk juga ahli keluarga yang lain.

Marie sentiasa menekankan ‘konsep guna barang yang perlu sahaja’ dan tanyalah pada diri sendiri, “Adakah barang ini buat aku gembira atau tidak?”

Ternyata soalan itu sentiasa menghantui semua wani­ta kerana bagi mereka semua barangan yang dibeli khususnya yang berharga mahal dan berjenama adalah barangan kesayangan sehingga tidak mahu berpisah dengannya sedang ia tidak bersesuaian lagi digunakan.

Dek kerana terlalu sayangkan barang tersebut, ia terus disimpan lama sehingga menjadikan barangan yang disa­yangi bertimbun di dalam almari sejak bertahun-tahun.

Selepas menonton pelbagai siri video berkaitan pem­belajaran teknik mengemas dan melipat mengikut kaedah KonMari, saya berasa semakin tenang dan mudah membuat pemilihan pakaian dan kemasan barangan di dalam almari serta bilik.

Banyak lagi ‘kelas pembelajaran’ yang perlu diikuti bermula dari bilik tidur hingga ke bilik tidur anak, ruang tamu dan juga di dapur, segalanya perlu dibuat dengan hati yang tenang secara berperingkat.

Proses mengemas rumah perlu dibuat secara konsis­ten dan jangan memaksa diri sehingga memberi tekanan kepada tahap kesihatan diri.

Lebih penting, jangan teruja untuk mengubah atau letak dekorasi rumah semata-mata mahu mengikuti 100 peratus kaedah KonMari kerana ia bergantung kepada bajet dan barangan sedia ada di dalam rumah masing-masing.

Ia sebenarnya boleh diubah suai mengikut kreativiti masing-masing, minat dan semangat kerajinan mengemas rumah dan jangan pula hanya kemas teratur dalam tempoh seminggu, minggu seterusnya akan kembali se­perti sebelum ini seperti kata pepatah, hangat-hangat tahi ayam.