Komuniti itu mahu penam­pilan mereka tidak disisih, dipandang serong, dihina tetapi hendaklah diterima sama rata seperti golongan lelaki dan wa­nita.

Takrifan LGBT secara umumnya merujuk kepada mana-mana individu yang berdepan masalah kecelaruan jantina namun mereka bukan dikelaskan sebagai orang kelainan upaya (OKU).

Komuniti kumpulan songsang tersebut sebelum ini boleh dilihat secara terbuka di negara-­negara Barat dan Eropah. Namun begitu sejak tahun-tahun ke­belakangan ini LGBT dikesan semakin berani cuba menapak di Malaysia. Malah sejak kerajaan baharu mengambil alih kuasa pemerintahan, komuniti LGBT se­olah-olah menaruh harapan agar nasib mereka diberi perhatian.

Bukti komuniti LGBT di negara ini wujud dan melibatkan angka yang agak ramai boleh dilihat kepada beberapa pusat hiburan yang didominasi kumpulan tersebut, parti-parti sulit meraikan sesama mereka dan anjuran majlis-majlis sosial ­eksklusif.

Komuniti LGBT mahu hidup secara terbuka dan ada dalam kalangan mereka kini tanpa segan silu mengakui diri mereka sebagai salah seorang dalam komuniti terasing tersebut.

Baru-baru ini di laman sosial tercetus perdebatan apabila seorang pondan dikenali sebagai Jelita mengeluarkan kata-kata jantina seseorang perlu ditentukan oleh empunya badan dan bukan alat kelamin di kelangkang masing-masing.

Mengikut Jelita lagi, insan seperti dirinya adalah wanita sejati kerana jantina sepatutnya ditentukan oleh otak dan naluri sendiri. Justeru Jelita menuduh doktor-doktor selama ini telah melakukan kesalahan besar apabila menentukan jantina bayi hanya berdasarkan alat kelamin di celah kelangkang.

Pendapat Jelita itu mengundang banyak kritikan netizen yang tidak dapat menerima kenyataannya yang menyalahkan doktor.

Melihat kepada perdebatan membabitkan komuniti LGBT sejak kebelakangan ini, manusia yang dilahirkan sempurna sebagai perempuan atau lelaki harus bersyukur.

Sehingga ke saat ini dan mungkin sampai bila-bila, LGBT tidak ada tempat di negara ini. Kewujudan komuniti LGBT mengancam tamadun manusia.

Malaysia sendiri mempunyai peruntukan undang-undang sivil untuk kesalahan persetubuhan luar tabii iaitu Seksyen 366A Kanun Keseksaan manakala di bawah undang-undang syariah peruntukan kesalahan tersebut mengikut Enakmen Jenayah Syariah Seksyen 25, 26 dan 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan.

Undang-undang tersebut bermaksud hak komuniti LGBT untuk amalkan gaya hidup mereka tidak dibenarkan.

Justeru kerajaan seluruh dunia harus mencari formula untuk memulihkan dan menyekat perkembangan komuniti LGBT. Amat sayang apabila ahli komuniti LGBT sebahagiannya bukan calang-calang individu kerana ada antara mereka bergelar profesional, berjawatan tinggi dalam kerajaan atau usahawan berjaya.

Malangnya kecelaruan jantina yang dialami membuatkan kehidupan ahli-ahli komuniti itu terasing atau mereka se­ngaja mengasingkan diri kerana menye­dari perwatakan mereka tidak dapat diterima. Lebih menyedihkan apabila ada insan-insan yang pada zaman kanak-kanak merupakan manusia sempurna tetapi secara tiba-tiba berubah menyertai komuniti LGBT.

Bagaimanapun, dalam usaha masyarakat menolak komuniti LGBT, tindakan yang dikenakan kepada kelompok itu seharusnya tidak pula terarah ke arah meng­aniaya mereka.

Hak-hak mereka yang berdepan masalah kecelaruan jantina tidak harus dinafikan secara total kerana mereka merupakan warga Malaysia dan seorang manusia. Justeru komuniti LGBT masih berada di bawah tanggungjawab kerajaan.

Sebagai perbandingan, komuniti LGBT di Malaysia lebih ‘bertuah’ berbanding kumpulan kanak-kanak yang dilahirkan tanpa taraf warganegara. Anak-anak yang bukan bertaraf warga­negara tidak berhak memiliki apa-apa keistimewaan di negara itu.