Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, sejak skim itu dikuatkuasakan pada 1 Jun 2017 sehingga 29 Januari lepas, Perkeso hanya menerima 10,677 pendaftaran daripada golongan tersebut dan jumlah itu sangat kecil berbanding keseluruhan pemandu ketiga-tiga kategori itu yang dianggarkan 300,000 orang.

Namun, beliau berkata pihaknya tidak akan terburu-buru melaksanakan tindakan itu dan menasihati pemandu untuk mendaftar dan mencarum dengan skim itu secara sukarela demi mendapat perlindungan sosial yang ditawarkan Perkeso.

"Jangan salah faham, kompaun ini sebab kita mahu beri perlindungan kepada mereka dan bukan sebab kita mahukan duit mereka kerana jumlah caruman yang dibayar nilainya kecil sahaja. Ini untuk kebaikan mereka sendiri.

"Perkeso juga memberi kelonggaran kepada pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing untuk membayar caruman mereka secara tahunan sebanyak RM157.20 atau bulanan sebanyak RM13.10 yang boleh memberi manfaat kepada mereka dan juga keluarga," katanya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Perkeso di sini hari ini. - K! ONLINE